Renungan Malam
Ketika hati Berbisik: “Sudah Cukup Sudah…”
Bila mana diri dihujani deraian ujian tanpa henti, terkadang jadi lemas dengan emosi sendiri.
Duduk termenung panjang di situ.
Di balik hati.
Mencuba untuk merungkaikan kalimah hikmah di sebalik setiap kejadian, agar hati mampu meraih kunci sabar dan redha.
Sabar dan redha.
Sabar, mudah sahaja untuk diungkapkan dengan sepatah perkataan, tetapi tersirat seribu pengertian. Menagih seribu mujahadah dan pasrah.
Akal berfikir lagi, mungkinkah diri masih tidak cukup redha menerima segala ketentuanNya?
Tidak.! Hati kecil cuba untuk menafikan.
Meskipun hati kecil sejujurnya sedih, menangis pilu dan hiba, terluka dan terasa namun, hati itu cuba sedaya upaya dipesan agar sabar dan redha menerima segala ujianNya.
Akal menyoal lagi,
“Kenapa harus diuji dengan perkara yang sama??”
Pertanyaan itu seakan berdengung, berulang dan terus berulang, akal berusaha mencari rasional dan titik keseimbangan.
Menyoal seperti itu, bukan bererti hati memberontak dan membenci segala takdiran Ilahi, tidak sama sekali.
Apa jua persoalan yang cuba dilontarkan, jiwa sentiasa ingin berbaik-baik sangka denganNya, itu diletakkan di atas garisan yang pertama.
Cuma, soalan itu berdengung-dengung sendiri, cuba untuk merungkaikan persoalan dengan mencari sebuah erti jawapan.
Cuba untuk mencari hikmah yang tersembunyi di balik ujian yang sama mendatang.
Berat.
Bahu seakan memikul beban yang cukup berat, sehinggakan diri hampir terduduk.
Malah, rasa tiada daya lagi untuk bangun.
Lemah.
Longlai segala rasa di jiwa.
Menujahkan tekanan pada sebuah perasaan.
Adakala juga fikiran menjadi buntu dan bingung, dek kerana terlalu ingin mencari apa makna di sebalik semua ini??
Lalu diri yang terduduk tadi cuba menyungkur sujud, kerana itulah sebaik-baik tempat kembali.
Menyembamkan muka padaNya, dengan titis jernih yang tidak putus-putus menemani.
Merintih-rintih sebuah jiwa, hati cuba berbisik bertanya kepada Ilahi.
Benarkah takdir berakhir seperti ini?
Diri sememangnya mencari.
Mencari sebuah jawapan kepada persoalan ujian yang menyakitkan.
Kerana inginkan maqam itu.
Maqam redha.
Bagaimana hati ingin benar-benar redha, andai persoalan itu masih terngiang-ngiang menyoalkan?
Perlahan-lahan hati dibasahkan dengan siraman zikir.
Agar fikir itu selari dengan zikir. Agar zikir itu mampu memimpin ke arah fikir yang positif dan rasional.
Jiwa itu, perlu dididik. Mesti.
Meskipun diri sudah berkali-kali mendidik.
Tetapi tidak penah sama didikan pada hati dan diri. Dua tempat yang berlainan.
Di hati itu yang menguasai segalanya. Dialah raja bagi mengawal diri.
Tersangat ingin memiliki sekeping hati yang suci, bersih dari segala tohmahan dosa yang mengelilingi.
Sehinggalah...
Persoalan yang ditanya-tanya itu terjawab.
Kalimah agung itu menegur.
“Maha suci ALLAH yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
“Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia (Allah) menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia (Allah) adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Ghafur (Maha Pengampun).”
(Terjemahan Surah Al-Mulk:1-2)
Subhanallah...
Bergetar jiwa tatkala mendengar kalimah cintaNya, sehingga hati basah dihujani rasa pada segenap jiwa..
Begitu berhikmah pula, DIA mengingatkanku melalui selitan pena dari seorang hambaNya.
No comments:
Post a Comment